Suatu hari seorang anak bermain di atas lantai,
sementara ibunya duduk di atas kerusi sambil menyulam. Anak yang sedang bermain
itu kemudian menoleh ke arah ibunya sambil memerhatikan apa yang dibuat oleh
ibunya. Dia melihat sulaman ibunya dari bawah dan berasa hairan lalu bertanya
kepada ibunya,
“Apa
yang sedang ibu lakukan?”
“Ibu sedang menyulam, nak.” Jawab ibunya sambil terus menusukkan
jarum dengan benang ke permukaan kain.
“Tapi buat apa?” Anak itu
masih bertanya hairan.
“Sulaman itu kelihatan buruk
sekali. Hanya benang-benang yang tidak tersusun dan tidak menarik untuk
dilihat.”
Ibunya hanya tersenyum. Lalu dia memberi isyarat
pada anaknya untuk berdiri.
Anak itu pun berdiri dan menghampiri ibunya. Dia
berjalan mendekati ibunya dan melihat sulaman ibunya dari atas. Anak itu berasa
terkejut dan kagum pada keindahannya.
Begitulah contoh kehidupan kita di dunia ini. Kita
hanya melihat sebahagian dari perbuatan Yang Maha Esa dari bawah, maka kita
dapati ianya buruk dan tidak menyenangkan, malah sedar atau tidak, kita sering
mengeluh dan berprasangka buruk terhadapNya kerana kesukaran yang kita deritai.
Seandainya kita boleh bersabar dan berusaha untuk melihat rekacipta ataupun design yang telah Allah sulamkan buat
kita dari sudut yang tepat, sudah tentu kita akan memiliki sikap yang berbeza.
Sebenarnya di sebalik berbagai perkara yang tidak
menyenangkan, terdapat ciptaan indah yang tidak mampu dilihat dengan mata dan
pengetahuan kita yang serba terhad. Maka, untuk melihat keindahan ciptaanNya
dari bahagian atas, kita perlu melihat melalui pandangan mata hati yang bersih
dan dengan pengetahuan yang lurus. Apabila kita mampu melihat keindahan itu,
sudah pasti kita tidak akan mengeluh lagi.
Sebagaimana yang kita semua maklum, Allah sudah
menyatakan bahawa Dia akan memberi ujian dalam kehidupan di dunia ini. Ujian
itu boleh datang bila-bila masa saja, tanpa kita ketahui bentuk, waktu
kedatangan, serta besar kecilnya. Ujian yang datang bukan hanya berbentuk
dugaan atau hal-hal yang tidak menyenangkan, malah ia juga boleh datang dalam
bentuk nikmat dan kesenangan. Masalahnya bukanlah bila atau bagaimana ujian
itu akan diberi, tetapi adakah kita sudah bersiap sedia untuk menghadapinya?
No comments:
Post a Comment