Pages

Tuesday, October 26, 2010

Di Sebalik Kejadian Rumput

Rumput sejenis tumbuhan yang paling mudah tumbuh, tahan lasak dan senang dipandang mata. Warnanya yang hijau memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Rumput tidak berbuah, tidak mengeluarkan bunga yang berwarna-warni, tetapi kita tetap menanamnya.


Kenapa? Apakah keistimewaan rumput?

Ya, memang benar...rumput selalu dipijak, tetapi ia tidak hina.

Rumput memberi kekuatan pada tanah. Akarnya mencengkam dan menghalang air daripada menembusi tanah dengan mudah. Seterusnya ia menghalang hakisan tanah. Sebab itu rumput ditanam di lereng-lereng cerun dan curam. Gunanya bagi menahan tanah daripada hakisan atau runtuh.


Heemm, hebat bukan? Walau tanah dan batu sifatnya keras, rupa-rupanya rumput yang lembut yang menahan tanah daripada runtuh, bukan pokok bunga ros yang menghasilkan bunga yang cantik atau pokok pisang yang menghasilkan buah yang banyak.


Hakikat ini mengajar kita satu perkara – iaitu jangan berasa hina diri. Walaupun kita tidak mempunyai rupa yang cantik, harta yang banyak atau kecerdasan yang tinggi, kita masih boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan agama melalui keistimewaan yang kita miliki. Ingat, Allah mencipta manusia dengan ‘keunikan’ masing-masing. Setiap orang ada keistimewaannya tersendiri. Kenali apakah keistimewaan kita dan pertingkatkan. Jadilah seperti rumput, walau tidak berbuah dan tidak berbunga, ia mampu menahan hakisan air.


Seperkara lagi, walau dipijak berulang kali, rumput masih mampu bertahan. Lembut memang lembut, tetapi kerana kelembutan itulah rumput tidak patah apabila dipijak. Ia melentur apabila dihenyak, tetapi kemudiannya kembali ke bentuk asal. Bayangkan jika rumput ‘berkeras’, pasti patah dan musnah. Jadi, kelembutan pada rumput sebenarnya adalah satu kekuatan, bukan satu kelemahan.


Selain itu, rumput juga tidak pernah tumbuh bersendirian. Sekali tumbuh, mesti bersama-sama yang lain, tompok demi tompok, kelompok demi kelompok sehingga memenuhi satu padang, lurah atau lembah. Geraknya sangat perlahan tetapi sangat konsisten. Sehari demi sehari dan akhirnya tanpa disedari, seluruh kawasan telah dilitupinya. Itulah rahsia rumput yang hidupnya sentiasa berjemaah dan istiqamah.


Begitu juga dengan kita...kita mesti hidup bersatu padu dalam sebuah keluarga, organisasi dan masyarakat. Itulah hidup berjemaah namanya. Menerusi kesatuan itu, setiap orang dapat membangunkan aktiviti-aktiviti kebaikan dan kebajikan. Tidak mengapa sekiranya aktiviti-aktiviti itu hanya kecil-kecilan sahaja, asalkan ia dilakukan dengan ikhlas dan penuh istiqamah.


Kesimpulannya, jadilah seperti rumput…dengan hidup berjemaah dan bersikap istiqamah, banyak kebaikan yang dapat dibuat.

Ia selalu dibawah, tetapi bukan lemah.
Sekalipun lemah-lembut, ia tidak musnah walau dipukul ribut. 


(Dipetik daripada Nota Fikir untuk Zikir)

No comments:

Post a Comment